Monday, May 11, 2009

Apakah itu Bond

Ada yang bertanyakan saya, BON TU APA??????

1. Secara mudahnya Bon itu mewakili akujanji hutang yang diterbitkan sama ada oleh badan-badan kerajaan ataupun syarikat.

2. Apabila anda melabur ke dalam bon, anda sebenarnya berperanan sebagai pemberi pinjam wang kepada badan-badan kerajaan atau syarikat-syarikat yang menerbitkan bon.

3. Manakala mereka yang menerbitkannya pula bertindak sebagai peminjam daripada anda yang membeli bon tersebut.

4. Sebagai balasan kerana membeli bon mereka, penerbit-penerbit bon akan membayar faedah tetap (dikenali sebagai kadar kupon) kepada anda bagi sepanjang tempoh pinjaman dan memulangkan jumlah pokok yang dipinjam apabila matang.

5. Contoh bon yang boleh diberikan di sini ialah Bon Simpanan Merdeka 2008 yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia untuk warga emas.

6. Bon ini mempunyai tempoh matang selama tiga tahun dan menawarkan pulangan (kadar kupon) sebanyak lima peratus setahun.

7. Di Malaysia terdapat dua pihak yang menerbitkan bon iaitu, bon dikeluarkan oleh pihak kerajaan(Bon Kerajaan) da pihak korporat(Bon Korporat).

8. Bagi bon kerajaan, penerbit utamanya ialah pihak kerajaan, Bank Negara Malaysia dan institusi separa kerajaan (Khazanah Nasional Berhad, Danamodal dan Danaharta).

9. Manakala itu, bon korporat dan sekuriti bersandarkan aset pula diterbitkan Cagamas Berhad, institusi kewangan dan syarikat bukan kewangan.

10. Pelabur utama pasaran bon Malaysia ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana pencen (KWAP), syarikat insuran dan institusi kewangan yang lain.

11. Melabur wang anda ke dalam bon juga ada risikonya. Umumnya pulangan daripada bon-bon korporat selalunya lebih tinggi jika dibandingkan dengan bon kerajaan kerana risiko yang ditanggung oleh pembeli bon korporat lebih tinggi daripada bon kerajaan.

12. Ini bertepatan dengan prinsip pelaburan ; “Semakin Tinggi Risiko, Semakin Tinggi Kadar Pulangannya!”

13. Namun begitu, jika anda inginkan pulangan yang lebih terjamin, anda boleh membeli bon kerajaan kerana wang pokok anda lebih terjamin dan selamat berbanding bon korporat yang berhadapan dengan risiko tidak menerima bayaran kupon dan kehilangan wang pokok (modal) anda!

14. Jadi pilihan di tangan anda!

15. Melaburlah berdasarkan matlamat dan perancangan kewangan anda!

No comments:

Post a Comment